Tuesday, July 31, 2012

salam ramadhan


Ramadhan al-Mubarak, bulan kesembilan dalam kalendar Islam yang dinyatakan Allah sebagai bulan penuh kemuliaan. Seperti yang dimaklumi, pada bulan inilah Allah menurunkan al-Quran, mengampuni dosa serta meninggikan darjat hamba-Nya. Pada setiap malam dalam bulan ini, Allah membebaskan banyak jiwa daripada Api Neraka. Syaitan diikat dan dirantai. Pintu Neraka ditutup sementara pintu Syurga dibuka seluasnya.


Ramadhan al-Mubarak seharusnya mendidik kita untuk berjimat cermat namun sesetengah daripada kita mengeluh kerana terlebih berbelanja. Berlapar dan dahaga seharusnya menginsafkan kita dengan nasib malang si miskin namun pelbagai santapan dan juadah akhirnya melekakan kita.

Selepas diperintahkan untuk berpuasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, Ramadhan al-Mubarak adalah kesempatan bagi kita untuk mengurangkan pengambilan makanan setiap hari. Namun, fenomena berbuka puasa di kalangan masyarakat kita ialah makan untuk menebus lapar di siang hari. Lalu makanan diambil secara berlebihan di waktu malam sehingga perut menjadi terlalu kenyang dan malas untuk bersembahyang.

Walhal malam sepanjang Ramadhan al-Mubarak adalah insentif untuk melakukan ibadat. Orang Islam diharap dapat mengurangkan makanan pada bulan ini supaya mereka dapat bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat, bersolat jemaah, berterawih dan Qiyamulail. Jika kita sentiasa terlepas terawih dek kerana perut terlalu kenyang maka masihkah Ramadhan memiliki keistimewaannya lagi?

Ramai juga di kalangan kita yang mengaitkan Ramadhan al-Mubarak dengan tidur dan bermalas-malasan. Mereka berdalil dengan hadis yang lemah iaitu 'tidurnya orang berpuasa itu ibadah.' Lantas sebahagian besar waktu dihabiskan untuk tidur dan berehat. Walhal masa itu sepatutnya digunakan untuk bekerja, beribadat seperti membaca al-Quran dan mencari ilmu.

Ketika hayat Rasulullah s.a.w, Ramadhan al-Mubarak merupakan bulan penuh kesungguhan, perjuangan dan pengorbanan untuk mencari keberkatan. Ini sangat berbeza dengan realiti sesetengah daripada kita yang memandang Ramadhan sebagai bulan untuk berehat, memenuhi selera makan serta bermewah-mewah dalam berbelanja. Seharusnya, apa saja ibadat dan urusan yang kita lakukan dalam bulan ini, realitinya adalah untuk mencari keberkatan daripadanya. Selamat menyambut ramadhan al-mubarak. semoga kite sume diberkatinya. . _danny ashraff
رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ
Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu).
(Surah ad-Dukhan 44: Ayat 7)

No comments:

Post a Comment